Oswald the Lucky Rabbit

Oswald the Lucky Rabbit (juga dikenali sebagai Oswald the Rabbit atau Oswald Rabbit) ialah watak kartun animasi berupa arnab bersifat manusia ciptaan Ub Iwerks dan Walt Disney untuk filem-filem edaran Universal Pictures pada 1920-an dan 1930-an. Hak majoriti kepada watak ini kini dipegang oleh The Walt Disney Company, dengan hanya sedikit hak yang masih dipegang oleh Universal.Oswald diperkenalkan pada tahun 1927 apabila Disney menandatangani kontrak baru dengan Carl Laemmle, ketua Universal untuk menerbitkan siri kartun baru untuk Charles B. Mintz dan George Winkler, bermula dengan kartun Trolley Troubles. Setahun kemudian, ketika siri Oswald semakin gah, Disney meminta kenaikan perbelanjaan, tetapi dibalas dengan tuntutan Mintz agar perbelanjaannya dipotong 20%, serta peringatan bahawa Mintz ialah pemilik watak Oswald, lebih-lebih lagi ramai pekerja Disney beralih ke pangkuan Mintz. Antara yang masih setia dengan Disney ketika ini ialah Ub Iwerks dan Les Clark.Daripada itu, hubungan Disney dengan Mintz dan Winkler diakhiri dengan penciptaan Mickey Mouse yang berupa pengubahsuaian kepada rekabentuk watak Oswald, yang menjadi maskot terunggul perniagaan Disney sepanjang zaman, manakala Mintz membuka studio sendiri bersama ramai bekas pekerja Disney untuk meneruskan penerbitan siri filem Oswald. Atas rasa tidak puas hati, Laemmle membatalkan kontrak Mintz lalu memindahkan kerja-kerja penerbitan Oswald ke Universal.Dengan restu Disney, Laemmle melantik Walter Lantz (kini dikenali sebagai pencipta Woody Woodpecker) sebagai penerbit untuk sebanyak 140 filem siri Oswald sehingga filem terakhirnya iaitu The Egg Cracker Suite pada tahun 1943. Watak Oswald membuat penampilan terakhir sebagai tetamu istimewa dalam filem kartun The Woody Woodpecker Polka pada tahun 1951, sebelum dipersarakan sepenuhnya oleh Universal.Pada tahun 2006, syarikat Disney membeli hak Oswald sebagai sebahagian aset kecil dari NBC Universal sebagai tukaran untuk pengulas sukan Al Michaels yang beralih dari ABC/ESPN milik Disney, ke rangkaian NBC Sports.